Rabu, 4 November 2009

Wakaf........

Wakaf merupakan satu tradisi sosial yang diturunkan oleh Rasulullah S.A.W dimana
tradisi tersebut dipegang kuat oleh sahabat- sahabat dan para pengikutnya. Sistem
wakaf telah memberikan manfaat yang tidak terhingga kepada golongan yang tidak
bernasib baik dan melahirkan ramai para pemikir terulung dan berbagai institusi di
dalam peradaban Islam.

Wakaf adalah salah satu amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam. Ia
merupakan amal soleh yang pahalanya tidak akan putus-putus diberikan Allah kepada
pewakaf selama harta yang diwakafkan itu masih kekal dimanfaatkan. Contoh amalan pada zaman Rasulullah S.A.W adalah apabila Sayidina Umar mewakafkan sebuah ladang yang dihadiahkan kepadanya supaya hasil tanaman dari ladang tersebut dapat dimilikki oleh masyarakat setempat ketika itu. Di satu ketika yang lain pula, Sayidina Uthman b. Affan telah membeli sebuah telaga yang dikenali sebagai telaga Roman yang kemudiannya dijadikan sumber air oleh orang ramai pada ketika itu.

Sejak itu, amalan wakaf terus berkembang, apabila umat Islam mula mewakafkan tanah
mereka untuk dijadikan masjid. Oleh kerana masjid adalah sumber ilmu, maka wakaf
dikembangkan pula ke pembinaan pusat pengajian, kediaman, kesihatan dan berbagai
infrastruktur lain sehinggalah pada hari ini.Di antara pusat pengajian Islam terulung hasil dari amalan wakaf termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir, Al-Qarawiyyin dan Zaitouna.

Dari segi pentadbiran kerajaan pula, satu contoh perlaksanaan Wakaf Tunai bagi
membantu kesejahteraan rakyatnya adalah pada zaman Empayar Uthmaniyah di Turki.
Empayar Uthmaniyah mencapai kegemilangan dengan bantuan amalan wakaf tunai yang meluas ketika itu sehingga berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan serta menjadi pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan dalam penyediaan kemudahankemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan seumpamanya kepada masyarakat Turki.

Di dalam sektor perubatan, salah satu hospital yang dibina hasil dari amalan wakaf ialah Hospital Al Noorie di Damascus yang dibina pada tahun 1145AD. Ianya adalah hospital pertama yang meggunakan sistem rekod perubatan yang kemudiannya menjadi pusat pengajian perubatan. Ramai ahli perubatan terkenal menamatkan pengajian mereka di pusat perubatan ini termasuk Ibn Nafis, ahli perubatan terulung yang menemui teori sistem pernafasan di dalam paru-paru manusia. Hospital ini beroperasi sehingga 7 abad dan sebahagian daripada hospital ini masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Amalan Wakaf merangkumi segala aspek kehidupan termasuk pembinaan jalan dan
jambatan, menyediakan sumber bekalan air bagi penduduk setempat, pemberian wang
tunai bagi kerja-kerja penyelenggaraan harta wakaf, alat bertani, buku-buku, ilmu dan
sebagainya yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

DALIL HADIS

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:
Maksudnya : Apabila mati seseorang itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara :sedekah jariah, ilmu yang termanfaat dan anak yang soleh mendoakan untuknya.

Hadis riwayat Jamaah:
Diberitakan dari Ibnu Umar bahawa Umar mendapat bahagian sebidang tanah di Khaibar.Beliau berkata, "wahai Rasullullah. Saya mendapat sebidang tanah di Khaibar sedangkan saya belum pernah mendapat yang lebih berharga daripada itu. Apa yang sebaiknya sayalakukan?"Rasullullah S.A.W menjawab, "Bila kamu mahu, kamu sedekahkanlah ia dengan menahan harta itu supaya ia tidak boleh dijual, dibeli atau ditukar hak miliknya." Lalu Umar menyedekahkan tanah itu kerana Allah. Tanah dan segala hasil daripadanya terusmenerus digunakan oleh kaum miskin, karib kerahat, para hamba sahaya, para musafir,orang-orang lemah, dan ibnu sabil.

DEFINISI WAKAF

Wakaf ialah menahan sesuatu harta yang boleh diambil manfaat daripadanya untuk
digunakan pada tujuan kebajikan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah
s.w.t. dan tidak boleh dijadikan jual-beli atau "hibah" pada zat benda yang diwakafkan itu. Wakaf berasal dari perkataan Arab yang bermaksud menahan atau menghentikan.Dari segi istilah, ianya bermaksud menahan sesuatu benda atau harta supaya hasil atau manfaat daripada harta tersebut boleh digunakan untuk tujuan kebaikan.

HIKMAH WAKAF

1. Sebagai salah satu cara untuk beribadah kepada Allah s.w.t.
2. Membuka jalan bagi orang beriman yang suka memberi wakaf dan berlumba-lumba
dalam amal kebajikan dan mengharapkan pahala.
3. Memberi pahala yang berterusan kepada pewakaf selepas kematian selagimana
harta wakaf tersebut kekal dimanfaatkan.
4. Untuk kebaikan Islam, seperti membina masjid, surau, tanah perkuburan dan
sebagainya.
5. Membantu mengurangkan beban orang fakir dan miskin serta anak yatim.


RUKUN WAKAF

1. Pihak yang mewakafkan.
2. Pihak yang menerima wakaf
3. Benda yang diwakafkan.
4. "Sighah" iaitu ijab dan qabul.


SYARAT ORANG YANG MEWAKAFKAN
Pewakaf adalah :

1. Beragama Islam
2. Cukup umur (akil baligh)
3. Waras (sempurna akal fikiran)
4. Ahli tasarruf / tabaruk
5. Pilihan sendiri (ikhtiari)
6. Merdeka

SYARAT HARTA YANG DIWAKAFKAN

1. Harta itu mestilah benda yang dapat di ambil manfaatnya.
2. Harta yang diwakafkan kepada penerima wakaf wujud waktu itu.
3. Harta yang diwakafkan itu dapat memberi faedah dan manfaat yang
berpanjangan.
4. Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak.
5. Harta yang diwakafkan ditentukan jenis, bentuk, tempat, luas dan jumlah.
6. Harta yang diwakafkan itu adalah milik sempurna orang yang pewakaf.


JENIS WAKAF

Wakaf terbahagi kepada dua kategori utama iaitu :

Wakaf Mutlak (AM) - merujuk kepada amalan menyerahkan harta wakaf dengan tidak
menyatakan sesuatu tujuan tertentu dalam perwakafan hartanya. Harta itu boleh
dibangunkan bagi apa-apa maksud, selagi tidak bertentangan dengan syarak.

Wakaf Muqayyad (KHAS) – amalan mewakafkan harta dimana pewakaf menyatakan
tujuan wakaf secara spesifik semasa menwakafkan hartanya. Harta wakaf tersebut
hendaklah digunakan hanya untuk tujuan yang dinyatakan secara khusus itu. Contohnya mewakafkan tanah khas untuk pembinaan masjid, surau, perkuburan dan sebagainya.

HARTA YANG BOLEH DIWAKAFKAN
Benda dan harta yang diwakafkan itu hendaklah milik sempurna yang diwakafkan dalam bentuk wakaf berikut :

A) Wakaf Al-I'qar (Harta Tak Alih)

iaitu harta yang tidak boleh dipindahkan
seperti:
Memberikan tanah untuk bangunan atau kegiatan masyarakat yang berguna
bagi syiar Islam.
Memberikan bangunan untuk kegunaan sekolah, hospital dan sebagainya.
B) Wakaf Al-Manqul (Harta Alih)

Iaitu harta yang boleh dipindahkan seperti wang tunai, kitab, buku, meja, pakaian,
senjata, alat-alat pertanian, binatang yang boleh diambil susunya dan sebagainya.

C) Wakaf Al-Musya'

Menurut kebanyakan ulama' harus mewakafkan harta yang dikongsi atau dimiliki
bersama dengan orang lain yang tidak boleh dibahagi seperti dua orang mempunyai
hak ke atas rumah dan sebuah kereta. Jika salah seorang pemilik mewakaf bahagiannya, maka wakaf ini adalah sah.

D) Wakaf Haq Irtifaq (Hak Milik Bangunan Bertingkat)

Golongan Syafie dan Hambali mengharuskan wakaf ini iaitu mewakafkan satu tingkat
bangunan yang terdiri daripada beberapa tingkat, seperti seorang yang mewakafkan
tingkat-tingkat daripada bangunannya atau tingkat bawah. Ia boleh dibuat demikian
tanpa mewakafkan keseluruhan bangunan. Wakaf ini adalah sah menurut Mazhab Syafie dan Hambali.

E) Wakaf Al-Irsod

Iaitu wakaf yang dilakukan oleh pemerintah untuk kepentingan umum seperti sebidang
tanah untuk dijadikan sekolah, rumah sakit dan sebagainya mengikut syarak.

PERBEZAAN DI ANTARA WAKAF DAN SEDEKAH
Sedekah diberikan kepada golongan yang memerlukan manakala wakaf
ditujukan bagi kegunaan seluruh masyarakat secara umum, meskipun golongan
yang memerlukan diberikan keutamaan.
Sedekah adalah sesuatu yang boleh dipindah milik. Sesuatu harta apabila telah
diwakafkan, pewakaf sudah tidak memiliki hak dan campurtangan ke atas harta
tersebut.
Sedekah boleh diberi di dalam apa bentuk sekalipun manakala wakaf adalah
terhad kepada sesuatu harta dimana harta tersebut boleh mendatangkan hasil
atau menjana lebih banyak manfaat secara berterusan atau bentuk hasil yang
boleh disimpan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Hak cipta terpelihara sh@m,2009 | SK Dato' Laksamana Raja Mahkota,Teluk Intan